Mengisahkan ketabahan Suraya (Nad Zainal) dalam meneruskan kehidupan sebagai penghidap Leukimia. Kekuatan yang dimiliki oleh Suraya untuk menghadapi kehidupan seharian ketika hendak menamatkan pengajiannya ternyata dikagumi oleh rakan-rakan senasib dengannya. Selain rakan-rakannya, Alif (Johan As’ari) yang menghidap kanser tulang tahap tiga turut mengagumi wanita itu dalam diam. Perhubungan antara Suraya dan Alif pada awalnya terbatas sebagai rakan karib sahaja kerana bapa Suraya, Datuk Hisham (Khairi Anwar) mahu mengahwinkan Suraya dengan Imran (Ryzal Jaafar). Namun, Imran mempunyai niat tersembunyi disebalik kesungguhannya untuk menikahi Suraya, iaitu untuk membolot harta keluarga Suraya. Bagaimanapun, lakonan Imran dapat dihidu oleh Suraya kerana Suraya tahu sikap sebenar Imran yang suka berfoya-foya di kelab malam. Penyakit yang dihidapi Suraya membuatkannya terpaksa ke Singapura untuk melakukan rawatan dan merupakan usaha terakhir atas saranan doktornya, Dr. Nadia. Bukan sahaja Suraya, Alif juga sering diserang penyakitnya dan berulang-alik ke hospital. Ekoran daripada tempoh rawatan yang panjang membuatkan Suraya dan Alif terputus hubungan buat seketika. Ibu mertua Suraya, Puan Sharifah menyokong niat jahat Imran dan melayan Suraya secara endah tidak endah. Puan Sharifah sememangnya tidak berkenan dengan menantunya, Suraya dan menganggap penyakit yang dialami oleh Suraya tidak lah seteruk mana dan hanya sengaja dibuat-buat seperti kelihatan kritikal. Namun, bukan sahaja kebencian yang diterima daripada ibu mertuanya, perangai buruk Imran yang kaki mabuk dan bersifat curang mereka memberi tekanan kepada Suraya. Hari demi hari, tekanan yang diterima oleh Suraya membuatkan penyakitnya menyerang dirinya kembali. Melihat keadaan Suraya yang kritikal dan memikirkan harta yang bakal dimiliki, Imran menghantar Suraya ke hospital. Adakah cinta Suraya dan Alif terkubur begitu sahaja? Mampukah Suraya bertabah dengan segala cabaran kehidupannya?
Share this :
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
ceritatontons © 2017 ceritonton